Pemasyhuran Kemerdekaan
Dengan nama Allah yang Maha Murah lagi Mengasihani, segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian Rasul-Nya.
Bahawasanya oleh kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimbal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.
Dan bahawasanya oleh kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat di antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Negeri Melayu maka telah dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat iaitu Melaka dan Pulau Pinang mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.
Dan bahawasanya oleh kerana telah bersetuju pula di antara kedua-dua pihak dalam perjanjian yang tersebut iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh yang tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa jua kedaulatan Baginda di atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.
Dan bahawasanya oleh kerana telah bersetuju pula di antara kedua-dua pihak yang tersebut iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, dan segala perjanjian yang lain yang ada sekarang di antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja ataupun salah seorang daripada Baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuatkuasa-kuatkuasa dan hak-hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-negeri Selat yang tersebut itu ataupun yang berhubung dengannya atau Negeri-negeri Melayu ataupun Persekutuan Tanah Melayu seluruhnya adalah tamat dengan sendirinya.
Dan bahawasanya oleh kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan Majlis-majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-negeri Melayu telah meluluskan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuat kuasanya.
Dan bahawasanya oleh kerana sebuah perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.
Dan bahawasanya oleh kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu maka ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.
Dan bahawasanya oleh kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan di dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.
Maka, dengan nama Allah yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Negeri-negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan meisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai daripada Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi di dalamnya Negeri-negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kepada kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa.
Kuala Lumpur
31 hari bulan Ogos tahun 1957
Perdana Menteri
Tidak ada komentar:
Posting Komentar